Penjara setahun pukul isteri - Utusan Malaysia

Penjara setahun pukul isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 14 Dis. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas seorang operator kilang selepas mengaku bersalah memukul isterinya menggunakan kerusi plastik tujuh bulan lalu.

Mohd. Faiz Idris, 31, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Siti Mariam Mohd. Nor, 30, dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik di kepala, tangan dan kaki mangsa.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Taman Sejati Merlimau, Jasin pada 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacabbersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian tertuduh telah memarahi anaknya kerana memanjat kerusi plastik tersebut untuk mengambil barang di atas almari, namun mangsa cuba menghalang tindakan suaminya.

Tertuduh yang berang kemudian mengambil kerusi plastik berkenaan dan memukul mangsa.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun enggan membuat sebarang rayuan.

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap tertuduh bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×