TANAH MERAH – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah dan keluar dari parti tersebut hari ini.
Menurut Ikmal Hisham, tujuan serta matlamat utama beliau membuat keputusan tersebut adalah demi menguatkan kuasa orang Melayu dan Islam di negara ini selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah negara.
“Perkara ini mungkin kita semua tidak nampak hari ini tapi Insya-Allah, masa depan akan menentukan bahawasanya tindakan yang saya lakukan ini betul.
“Saya bersedia dikecam dan menerima semua itu kerana bertindak keluar parti demi memperjuangkan agama, bangsa dan kepentingan penduduk Tanah Merah. Dalam Islam pun kita digalakkan berhijrah ke arah lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam satu majlis bersama kira-kira 800 ahli UMNO Bahagian Tanah Merah di Bangunan UMNO Gual Ipoh, di sini hari ini.
Ikmal Hisham merupakan Ahli Parlimen BN yang kedua keluar parti selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berbuat demikian pertengahan September lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum-14, BN memenangi lima kerusi parlimen di negeri ini manakala baki sembilan kerusi Parlimen lagi dimenangi Pas. – K! ONLINE










