KOMUNITI. Seramai 250 peserta yang terdiri daripada sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta penduduk Taman Dang Anum menjayakan program Gotong-royong Mega di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Pengarah program, Azizan Hamad berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu berjaya membersihkan longkang, semak samun dan kawasan di sekitar Taman Dang Anum.
“Aktiviti ini dapat membersihkan kawasan yang dikhuatiri boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan habitat binatang berbahaya.
“Selain itu, kami juga mengumpul bahan-bahan terpakai seperti besi buruk, surat khabar lama, plastik dan botol yang boleh dikitar semula,” katanya.











