GUA MUSANG – Tiga orang petugas kesihatan terkandas lebih 10 jam di kawasan hutan di Kampung Serasah, Pos Bihai di sini selepas laluan jalan balak rosak akibat hujan lebat, semalam.
Sebelum itu, mangsa, Rusdi Nor, 57, Abdul Basir Ahmad, 48, dan Mohd. Ruswadi Ab. Hamid, 38, yang merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk menjalankan tugas di perkampungan Orang Asli.
Bagaimanapun, keadaan hujan lebat menyebabkan jalan balak rosak teruk sehingga mereka terkandas di kawasan hutan itu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II, Hasri Hussin berkata, pihaknya melakukan operasi pada pukul 6 petang selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4 petang.
“Pada pukul 8.31 malam pihak penyelamat sampai di kawasan tersebut. Mereka cuba keluar dari hutan berkenaan namun gagal berikutan laluan balak rosak.
“Ketika tiga mangsa terkandas dijumpai, mereka mengalami masalah kesihatan dan tercedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Hasri, pada pukul 10.34 malam operasi berjaya ditamatkan selepas mangsa berjaya dibawa keluar dan operasi tersebut turut dibantu 12 anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Dua mangsa yang mengalami masalah kesihatan telah dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda bomba dan seorang lagi mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan polis.
“Difahamkan mangsa bersama rombongannya masuk ke kawasan kampung Orang Asli sejak tiga hari lalu,” katanya. – K! ONLINE










