PULAU PINANG 14 Dis. – Konflik di antara pemandu limosin lapangan terbang dan pemandu e-hailing terus berpanjangan selepas sekumpulan pemandu limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mengadakan bantahan di Bayan Lepas, di sini, pagi ini.
Demonstrasi aman itu disertai kira-kira 30 pemandu limosin LTAPP yang mendesak kerajaan lebih bertegas terhadap syarikat dan pemandu e-hailing yang didakwa menjejaskan punca pendapatan mereka.
Selain melaungkan desakan supaya pihak berkuasa bertegas, mereka turut membawa sepanduk yang antaranya bertulis ‘Bantu Kami Banteras E-Hailing’ serta ‘Kami Tuntut Keadilan dan Pembelaan’.
Menurut seorang pemandu limosin, Gopal Nair, 72, kira-kira 300 pemandu limosin LTAPP kini berdepan kesempitan hidup berikutan terpaksa bersaing secara tidak adil dengan pemandu e-hailing.
Katanya, sebagai pemandu limosin, pendapatan mereka hanya berpusat di LTAPP kerana syarat lesen mereka tidak membenarkan untuk mengambil penumpang di lokasi-lokasi lain.
“Tetapi dengan kehadiran pelbagai syarikat e-hailing, mereka secara bebas mengambil penumpang di LTAPP sekali gus menjejaskan periuk nasi kami di sini.
“Sebab itu kita mendesak kerajaan dan pihak berkuasa lebih bertegas dengan syarikat serta pemandu e-hailing ini dan tidak membenarkan mereka mengambil penumpang di LTAPP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pemandu limosin, Fadilah Mohamad, 62, berkata, pemandu limosin LTAPP kini dihimpit beban kewangan selepas hanya mampu meraih kurang RM2,000 sebulan dengan hanya antara dua ke tiga tempahan sehari.
Pendapatan itu, katanya, jauh merosot berbanding antara RM5,000 hingga RM6,000 yang diperoleh sebelum ini dan antara tujuh ke lapan tempahan yang diterima sehari.
Malah, tambahnya, kebanyakan pemandu limosin itu juga mula bekerja seawal pukul 5 pagi namun hanya mendapat tempahan menjelang tengah hari kerana direbut secara tidak adil oleh pemandu e-hailing.
“Kami juga perlu melepasi pelbagai syarat dan lesen untuk menjadi pemandu limosin LTAPP dan semuanya itu membabitkan kos, sedangkan pemandu e-hailing tidak perlu melepasi apa-apa pemeriksaan.
“Jadi, kami mendesak kerajaan turut memandang kesusahan dan kepayahan yang kami alami kini dan tidak membenarkan pemandu e-hailing mengambil penumpang di LTAPP,” katanya. – UTUSAN ONLINE











