Siasat isu kenaikan harga telur - Utusan Malaysia

Siasat isu kenaikan harga telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengenal pasti sebarang elemen antipersaingan yang mungkin berlaku dalam pasaran telur ayam tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata, selain isu pencatutan yang mungkin menjadi penyebab kepada isu kenaikan harga telur ayam, pihaknya juga akan melihat kepada perlakuan antipersaingan yang diamalkan oleh perusahaan seperti kartel penetapan harga, pembahagian kawasan persaingan serta menghadkan pengeluaran secara sengaja.

“MyCC akan menggunakan segala kuasa yang ada di bawah Akta Persaingan 2010 untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan kartel.

“Ia bagi memastikan kesejahteraan dan kepentingan pengguna di Malaysia kekal terpelihara. Kami juga akan mengambil kira harga harian dan jumlah pengeluaran telur ayam dalam menilai perkara ini,” kata dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebagai tambahan kata Iskandar, pihaknya akan melihat dengan teliti aktiviti mengeksport telur ayam ke pasaran luar negara yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Pada 11 Disember lalu, Kosmo! melaporkan kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud aktiviti kartel yang menyebabkanharga telur ayam naik secara konsisten setiap minggu sejak beberapa bulan lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aktiviti kartel begitu licik kerana mereka menetapkan harga secara pakatan, membahagikan kawasan persaingan dan menghadkan pengeluaran bagi mendapat keuntungan bersama antara pengeluar dan pemborong telur.

Siasatan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan mengenai kenaikan harga telur ayam terutamanya sejak pertengahan November lalu antaranya di Pulau Pinang, Sarawak dan Putrajaya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×