ISKANDAR PUTERI 13 Dis. – Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) komited untuk membantu kontraktor tempatan melibatkan diri dalam pelbagai projek pembangunan mega yang dijalankan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, kerajaan negeri mahu meningkatkan mutu dan kualiti kerja kontraktor tempatan agar mampu bersaing.
“Kerjasama antara JCCD dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan memastikan pembabitan kontraktor tempatan dalam projek mega yang dijalankan di negeri ini.
“Langkah ini selari dengan aspirasi Belanjawan Johor 2019 yang mana pembangun infrastruktur merupakan satu daripada enam teras utama yang akan diberi penekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam majlis menandatangani MoU antara CIDB dan JCCD di Ibu Pejabat JCCD di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi JCCD, Mohd. Solihan Badri dan Timbalan Ketua Eksekutif CIDB, Mohd. Azizi Ali.
Sementara itu, Mohd. Solihan berkata, Johor kini melalui fasa pembangunan termasuk dalam sektor pembinaan.
“Bagi menyediakan kontraktor untuk terlibat sama dalam pembangunan berkenaan, JCCD menyediakan latihan dan kemahiran pengurusan kepada kontraktor tempatan. “Sehubungan itu, JCCD menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuk CIDB,” ujarnya.











