KUALA LUMPUR 13 Dis. – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia dan Perumahan Awam (PA) Seri Kota di sini kecewa apabila bangunan parkir bertingkat yang dirasmikan minggu lalu masih belum dapat digunakan.
Lebih menghampakan, kerja-kerja pembinaan di kemudahan enam tingkat yang menempatkan tempat letak kenderaan, lot kedai, dewan serba guna dan pelbagai kemudahan sukan itu didapati masih berjalan.
Utusan Malaysia dimaklumkan, kerja-kerja pembinaan di bangunan berkenaan sepatutnya ditamatkan pada penghujung Oktober lalu dan sudah sedia untuk digunakan penduduk.
Bagaimanapun perasmian bangunan yang diharap dapat menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan itu tidak lebih hanya sekadar gimik.
Rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak tahu bila premis berkenaan dapat digunakan apatah lagi telah lama menunggu.
Penduduk, Jalil Ismail, 65 berkata, ruang parkir itu sepatutnya disiapkan sepenuhnya dan sedia beroperasi sebelum dihebah sebagai ‘kejayaan’ kerajaan menyelesaikan masalan penduduk.
“Persatuan penduduk memaklumkan bahawa bangunan ini boleh digunakan selepas tarikh perasmian bagi mengurangkan masalah kekurangan tempat parkir yang dialami selama ini.
“Namun kami terkejut apabila diberitahu bahawa ia belum disiapkan sepenuhnya untuk layak beroperasi bahkan masih ada kerja-kerja pembinaan dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jalil menambah, pihak yang berkenaan seharusnya lebih peka terhadap isu itu dengan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada penduduk PPR dan PA sekiranya ada isu berbangkit kepada
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa pembinaan parkir bertingkat di PPR Taman Mulia dan PA Seri Kota telah siap dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar pada 2 Disember lalu.
Susulan laporan berkenaan, penduduk membuat laporan bahawa parkir bertingkat di kawasan perumahan itu masih tidak dapat digunakan sehingga ke hari ini.










