PONTIAN 13 Dis. – Pulau Kukup berhampiran pekan Kukup, Tanjung Piai, dekat sini merupakan ‘permata bumi selatan’ yang kini popular selepas isu mengenai statusnya diketahui ramai.
Dikenali juga sebagai Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK), kawasan itu yang berkeluasan 1,147 hektar diliputi hutan paya bakau dengan 800 hektar kawasan dataran lumpurnya.
Pulau Kukup yang menjadi taman negara sejak 1997 diiktiraf sebagai pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni yang kedua terbesar dunia. Selain itu merupakan satu daripada dua pulau bakau tropikal yang tidak boleh didiami di dunia.
Begitu juga pulau itu merupakan satu daripada tiga kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarbangsa (Ramsar) di negeri ini selain Sungai Pulai Basin dan Tanjung Piai.
Mempunyai tarikan 27 spesies bakau asli yang popular antaranya bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan.
Selain itu pulau berkenaan juga dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara.
Istimewanya kawasan itu mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemukan serta menjadi khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada Johor dan negara khususnya.
Apabila status kawasan itu diubah baru-baru ini menerusi pewartaan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor itu, pihak berkenaan bertanggungjawab dalam memelihara keaslian dan keadaan semula jadi kawasan tersebut.
Banyak aktiviti boleh dilakukan semasa berkunjung ke pulau berkenaan, antaranya melalui jambatan gantung yang agak tinggi dan melihat tapak semaian pelbagai tumbuhan untuk tujuan pembelajaran dan kajian dipanggil Arboretum.
Jangan melepaskan peluang menaiki menara pemerhati untuk meninjau pemandangan di pulau tersebut yang menghijau indah. Perjalanan ke Pulau Kukup dari pekan Kukup hanya mengambil masa 5 minit dengan tambang bot RM5.
Sekiranya pengunjung balik pada waktu petang, bot agak sesak kerana pelawat akan pulang sebelum TNJPK ditutup pukul 5 petang.
Justeru, jika tidak mahu bersesak, eloklah pulang lebih awal. Kunjungan ke Pulau Kukup pasti memberi pengalaman indah yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran pengunjung.











