AirAsia belum putuskan jual pesawat - Utusan Malaysia

AirAsia belum putuskan jual pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Dis. – AirAsia Group Bhd. menerima tidak kurang daripada 13 maklum balas dan tawaran termasuk daripada firma pelaburan swasta Amerika Syarikat (AS), Castlelake LP untuk membeli unit pajakan pesawat dan beberapa aset pesawat yang tinggal.

Bagaimanapun, AirAsia menegaskan belum menandatangani sebarang kontrak yang sah dengan mana-mana pihak melibatkan penjualan unit pajakan atau sejumlah besar bagi pesawat melebihi nilai yang telah ditetapkan.

Katanya, tetapan nilai yang di­maksudkan adalah di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

“Syarikat akan membuat pengumuman yang diperlukan apabila keputusan dibuat oleh Lembaga Pengarah AirAsia,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Reuters melaporkan Castlelake membeli 30 pesawat daripada AirAsia dengan nilai kasar berjumlah AS$800 juta (RM3.34 bilion), menurut sumber.

Jelas laporan itu, perjanjian tersebut memberi peluang kepada syarikat itu untuk fokus kepada digital dengan aset yang sedikit.

Syarikat penerbangan bajet terbesar di Asia itu menjadi antara pelanggan Airbus terbesar apabila menempah beratus-ratus pesawat Airbus SE.

Perjanjian itu mencerminkan komitmen syarikat pelaburan untuk melabur dalam sektor pajakan pesawat global susulan permintaan yang semakin me­ningkat terhadap penerbangan tambang murah selain pertambahan trafik penumpang.

Castlelake merupakan se­buah dana global yang memberi tumpuan kepada pelaburan alternatif mula melibatkan diri dalam aset-aset penerbangan.

Pada Jun tahun lalu, Castlelake berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.18 bilion) daripada para pelabur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×