TIDAK dinafikan pesona rumah kayu yang ditata hias tidak sama seperti rumah batu.
Strukturnya yang unik menggamit memori golongan berusia yang sempat membesar dalam suasana kampung.
Sayang sekali sekiranya rumah kampung yang sudah dimiliki turun-temurun tidak dibaik pulih.
Pereka dalaman, Asri Meris telah diamanahkan oleh keluarga untuk menjaga rumah pusaka peninggalan arwah neneknya.

Bersama isterinya, Siti Rohani Shuib, mereka membuat perubahan 360 darjah rumah kayu yang kini menjadi kediaman berkonsepkan rumah ladang Inggeris. Rumah yang terletak di Tuaran, Sabah itu lebih mempesonakan apabila dihiasi dengan pokok bunga yang subur.
Menurut Asri, sebelum itu mereka tidak pernah terfikir untuk menghias rumah dengan tema berkenaan kerana sukar mendapatkan barang dekorasi yang menepati konsep diinginkan.
“Tetapi dek kerana ingin melihat keindahan perkampungan Inggeris yang mendamaikan, saya dan isteri nekad mengubahsuai rumah ini,” ujarnya yang mendapat ilham untuk mendekorasi rumah setelah banyak kali melancong ke luar negara bersama keluarga khususnya di Eropah.

Menurutnya, pemilihan warna neutral seperti putih, kelabu dan krim adalah kunci utama dalam menjayakan dekorasi bercirikan rumah ladang Inggeris.
“Penggunaan warna-warna itu memberikan impak suasana tenang dan romantik. Sekiranya pemilihan warna kurang tepat, konsep rumah ladang Inggeris akan menjadi kurang menarik dan tidak menonjol,” ulasnya yang mempunyai minat mendalam menghias ruang sejak di bangku sekolah lagi.
Dia berkata, elemen padanan warna dan kemasan perabot sangat penting dalam mengekalkan konsep rumah ladang Inggeris.
“Jadi, kami banyak menggunakan warna putih khususnya pada perabot dan barang hiasan. Di ruang tamu, kami masukkan sedikit warna pastel dengan menggunakan warna ‘tiffany blue’ khususnya pada langsir dan kusyen bagi menaikkan seri ruang.
“Mungkin kedengaran agak keterlaluan, kami turut mendirikan pendiang api bagi menggantikan kabinet televisyen untuk mengukuhkan lagi ciri-ciri rumah ladang Inggeris yang mana seolah-olah berada di negara empat musim.
“Konsep rumah ladang Inggeris ini juga mempunyai sedikit sentuhan gabungan moden dan klasik. Contohnya, gabungan kerusi ala kristal iaitu jenis ‘ghost chair’ pada set dinding serta pada lampu ruang makan,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, permukaan lantai mengekalkan struktur asal iaitu kayu. Dengan hanya meletakkan tikar buluh dan beberapa hamparan permaidani, itu sudah melengkapkan ciri neutral untuk keselesaan ruang.
“Antara ruang yang agak mencabar untuk didekorasikan adalah dapur. Ini kerana konsep rumah ladang Inggeris banyak menggunakan gabungan elemen kayu dan konkrit.
“Selain itu, material kabinet dapur juga perlu sepadan dengan konsep yang ditetapkan. Sekiranya terlalu banyak elemen kayu dan tanpa kemasan, ia bukan lagi rumah ladang Inggeris tetapi menjadi konsep ‘rustic’ (tidak berseni dan kasar),” ujarnya sambil memberitahu kos keseluruhan ubah suai rumah itu adalah kira-kira RM120,000.

Selain itu katanya, penggunaan peralatan dapur yang sesuai juga perlu dititikberatkan. Sekiranya terlalu moden, khuatir tidak menepati ciri-ciri dan konsep yang ada pada rumah ladang Inggeris.
“Ramai keliru antara konsep rumah ladang Inggeris dengan ‘rustic’. Kedua-dua konsep ini berbeza khususnya pada ciri perabot dan kemasan.
“Begitu juga dengan konsep Kotej Inggeris yang tradisional dan agak kurang sesuai jika digabungkan dengan elemen moden,” kata pengasas AsriSiti Deko (ASD) ini yang merupakan pereka dalaman pertama di Malaysia menggunakan khidmat nasihat dekorasi dalam talian.










