BAGAIMANAKAH hukum ucapan ‘angels make mistake’, adakah ia merosakkan akidah?
Dalam kamus bahasa Inggeris, angel maksudnya malaikat. Angel juga merujuk kepada orang yang baik. Oleh itu, penggunaan perkataan itu sewajarnya difahami maksudnya.
Selain itu, perkataan ini hendaklah difahami berdasarkan konteks ucapan. Dengan konteks ucapan akan dapat difahami dengan jelas maksudnya. Pada masa yang sama, ucapan ini juga wajar dilihat dalam aspek penggunaan bahasa Inggeris sendiri, bukan sekadar terjemahan. Ini kerana terjemahan tidak mampu mentakrifkan sepenuhnya maksud perkataan asal.
Justeru, tidak sewajarnya dituduh bahawa ucapan sebegini merosakkan iman atau akidah. Selagi mana ada ihtimal iaitu keadaan yang boleh diringankan dan difahami maksudnya, maka sewajarnya diberi ruang ke arah keadaan itu.
Berdiri seorang diri dalam saf
Adakah sah solat seseorang yang berdiri secara sendirian dalam saf?
Sah solat bersendirian dalam saf yang lain tetapi hukumnya adalah makruh. Maka sebaiknya seseorang yang datang untuk solat berusaha mencari ruang dalam saf sedia ada.
Jika tiada ruang, maka hendaklah dia bertakbiratul ihram kemudian menarik seorang yang berada dalam saf lain atau hadapan untuk membentuk saf bersamanya. Namun jika dikhuatiri wujud kekeliruan, maka tidak mengapa untuk solat sendirian tanpa membentuk saf.
Solat di hotel Masjidilharam
Adakah harus dan sah solat berjemaah di hotel berhampiran tanpa turun ke Masjidilharam?
Terdapat perbezaan pendapat dalam isu ini. Jika hotel bersambung dengan masjid maka tidak mengapa untuk bersolat dalam hotel dengan syarat bersambung saf antara Masjidilharam dan saf di hotel.
Adapun jika surau di hotel maka seeloknya untuk turun solat berjemaah di masjid. Ini adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf.
Hukum lewatkan solat bersebab
Apakah hukum melewatkan solat kerana mengikut arahan ketua supaya menyelesaikan sedikit kerja?
Solat hendaklah dikerjakan pada waktunya. Tidak menjadi masalah dilewatkan sedikit.
Sebagai contoh, mesyuarat berlanjutan dari pukul 3 petang sehingga pukul 5.30 petang. Masuk waktu asar pada pukul 4.30 petang. Maka ketua meminta agar pekerja yang hadir mesyuarat melewatkan sedikit solat fardu asar bagi menyelesaikan perkara penting dalam mesyuarat. Maka ini adalah harus.











