JASIN – Seorang bayi lelaki berumur 14 bulan ditemui mati lemas di dalam baldi di bilik air rumahnya di Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, Muhammad Arash Zahrain Osman, ditemui ibunya dalam keadaan tertonggeng di dalam baldi dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian ibu mangsa telah menggunakan tandas tersebut untuk menguruskan abang mangsa berumur dua tahun.
“Selepas menguruskan anak ketiganya itu, ibu dan ayah mangsa menikmati makan tengah hari bersama-sama dan membiarkan anak mereka masing-masing berumur 10, 7 dan 2 tahun itu bermain di dalam bilik utama.
“Ibu mangsa hanya menyedari insiden yang menimpa si mati apabila terdengar bunyi air di dalam tandas dan menemui bayi tersebut tertonggeng di dalam baldi berisi air serta tidak bergerak,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai oleh keluarganya, namun telah disahkan meninggal dunia.
Katanya, mayat Muhammad Arash telah dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah, Johor untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











