204 warga asing ditahan Imigresen - Utusan Malaysia

204 warga asing ditahan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Sebanyak 204 warga asing ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Penguat Kuasa Imigresen yang dijalankan di Cyberjaya dan sebuah hotel di Jalan Pudu di sini, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi pertama dijalankan di sebuah rumah kongsi di Cyberjaya dan sebanyak 235 warga asing telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 185 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan permit tamat tempoh.

“169 individu ialah warga Indonesia, 13 warga Thailand dan masing-masing, seorang warga Bangladesh, China dan Laos,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Menurut Mustafar, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini dan 18 wa­nita warga Thailand, Indonesia, Laos, China dan seorang lelaki Bangladesh ditahan.

“Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dan kita turut menjumpai beberapa bara­ngan yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut,” jelasnya.

Ujar beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×