KUALA TERENGGANU – Hampir 700 petugas daripada 143 pasukan Jabatan Kesihatan Negeri sudah bersiap sedia untuk digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh kali ini.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd Jusoh berkata, daripada jumlah itu, 373 anggota adalah daripada 69 pasukan perubatan manakala 315 anggota pula daripada 74 pasukan kesihatan.
Beliau berkata pasukan perubatan ini bersedia memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan bagi mangsa yang memerlukan, dan bagi PPS yang mempunyai mangsa lebih 1,000 orang, klinik statik akan beroperasi secara tetap di PPS itu.
“Pasukan kesihatan pula bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS agar sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir iaitu dengan membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, membuat aktiviti pembersihan selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan. – Bernama











