Warisan sentiasa terbuka terima wakil rakyat bebas - Mohd Shafie - Utusan Malaysia

Warisan sentiasa terbuka terima wakil rakyat bebas – Mohd Shafie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 13 Dis. – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata partinya sentiasa terbuka untuk menerima kemasukan wakil rakyat dari bebas, namun ia perlu dilakukan tanpa sebarang syarat.


Beliau, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata parti Warisan yang kini menerajui kerajaan baharu negeri Sabah sentiasa terbuka demi penyatuan rakyat dan membangunkan negeri ini.


“Setakat ini memang ada wakil rakyat bebas telah menyatakan keinginan untuk menyertai kita (Warisan) dan kita terbuka, namun dalam kerjasama ini saya harap tiada sebarang syarat diminta kepada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pembayaran balik pinjaman Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) kepada Kerajaan Negeri Sabah di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.


Semalam seramai 14 wakil rakyat UMNO Sabah bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada kerajaan.


Empat belas wakil rakyat yang meninggalkan UMNO itu terdiri daripada lima Anggota Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sembilan lagi ialah Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).


Mohd Shafie berkata kerajaan sentiasa mementingkan rakyat dan akan terus membantu membangunkan semua kawasan di negeri ini termasuk kawasan yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya lepas.


“Kerajaan mempunyai dasar bahawa kita akan membantu semua rakyat di negeri ini..kita tidak ada sebarang sekatan dalam parti ataupun kerajaan bagi memastikan negeri ini terus dibangunkan,” tambanya.


Mengenai penyampaian bayaran balik pinjaman itu, Mohd Shafie berkata Sedco telah membayar sebanyak RM7 juta sebagai bayaran balik pinjaman daripada Kerajaan Negeri.


“Kita mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Sedco yang telah berupaya membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri dan saya berharap prestasi pengurusan Sedco terus dipertingkatkan agar berupaya melaksanakan peranan untuk menyuburkan ekonomi di negeri ini, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan di negeri ini,” katanya.- BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×