JOHOR BAHRU 13 Dis. – Bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila Nur Afyfah Abdul Razak, 15, dari Bandar Baru Uda mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan memperoleh 11A hari ini.
Nur Afyfah tidak menyangka sasarannya untuk memperoleh keputusan 11A tercapai walaupun hanya memperolehi keputusan 10A pada percubaan PT3 dahulu.
“Ada beberapa subjek yang saya tidak sangka dapat keputusan baik. Apapun saya bersyukur dengan keputusan ini dan akan meneruskan pelajaran di sekolah sama,” katanya yang
bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang satu hari nanti.
Beliau yang ceria ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di sini sebentar tadi yang ditemani ibunya, Nor Farijan Jafar, 40.
Terdahulu, seramai 48,688 calon menerima keputusan PT3 di negeri ini hari ini.
Nor Farijan mendedahkan rahsia kejayaan anaknya memperoleh keputusan itu adalah dengan tidak terlalu memaksanya belajar secara berterusan bagi menghadapi peperiksaan.
Dia juga masih mengawal Nur Afyfah daripada segi penggunakan gajet serta hiburan selain memberikan ruang masa untuk anaknya berehat selepas pulang daripada sekolah.
“Tiada rahsia kejayaan yang khusus tentang keputusan cemerlang anak saya ini. Saya dan suami memberi ruang kepada mereka untuk berhibur. Bagaimanapun hiburan juga ada hadnya.
“Selain itu saya banyak membeli buku latihan bagi membolehkan mereka melakukan ulang kaji dan latihan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











