GURUN – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang sudah 46 tahun bertapak di negara ini, kini menjadi sebahagian daripada entiti perniagaan yang menyumbang kepada pemangkin industri baja negara selepas pembukaan kilang bajanya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB), di sini pada 2004.
Timbalan Pengurus Besar (Pemantauan Subsidiari) Nafas, Mohamad Yazif Fadil berkata, idea membina kilang memproses pelbagai jenis baja itu diilhamkan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1994 yang ketika itu menjadi Perdana Menteri keempat yang menyarankan supaya Nafas berkecimpung dalam bidang pembuatan berskala besar.

“Pembinaan kilang ini awalnya diilhamkan Tun Mahathir di mana ketika itu beliau menjadi Perdana Menteri keempat ketika perasmian Hari Peladang di Langkawi yang mencadangkan atau dalam erti kata lain menyuntik cabaran kepada Nafas untuk terlibat dalam industri lebih besar.
“Alhamdulillah walaupun kami mengambil masa yang agak panjang dari tahun 1994, pada 1998 kami telah memaklumkan dalam Mesyuarat Agung Nafas yang mana Nafas akan terlibat atau akan membina sebuah kilang baja yang hari ini dipanggil Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Mohamad Yazif berkata, tempoh lama untuk pembinaan kilang itu adalah disebabkan Nafas berhadapan dengan kekangan kewangan dan kecekapan sebelum Petronas Chemical Fertiliser (Kedah) Sdn Bhd (PCFK) menyatakan minat untuk bekerjasama membina kilang berkenaan dengan menyediakan perkhidmatan kepakaran serta melabur sebanyak 20 peratus. – Bernama












