KUALA LUMPUR – Hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang sehingga esok, menurut Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataannya di sini hari ini, situasi yang dikategorikan di bawah amaran cuaca buruk itu melibatkan Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
Ia seterusnya berkata, hujan lebat di bawah kategori amaran cuaca waspada dijangka berlaku sehingga Jumaat di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh; Terengganu (Besut dan Setiu); Pahang (Jerantut dan Maran); dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi). – Bernama











