Penetapan polisi kuota pembelian rumah, bangunan tidak kekal - MB Perlis - Utusan Malaysia

Penetapan polisi kuota pembelian rumah, bangunan tidak kekal – MB Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 13 Dis. – Penetapan polisi kuota untuk pembelian rumah dan bangunan dengan nisbah 70:30 peratus iaitu bumiputera dan bukan bumiputera di negeri ini, merupakan tindakan afirmatif dan bersifat diskriminasi positif.

Datuk Seri Azlan Man (Barisan Nasional-BN-Bintong) menjelaskan, malah tindakan itu yang sudah pun dilaksanakan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu, bukan bersifat kekal.

Katanya yang juga Menteri Besar, sebaliknya polisi berkenaan akan diubah mengikut kesesuaian daripada semasa ke semasa.

“Mengikut statistik, lebih 90 peratus penghuni rumah setinggan di negeri ini adalah orang Melayu dan sehubungan itu perlu dibantu.

“Orang Melayu merekodkan seramai 88 peratus daripada penduduk di negeri ini dan penetapan kuota itu pun masih rendah berbanding bilangan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Azlan mengulas kenyataan Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan) ketika sesi perbahasan semalam, yang membangkitkan tentang isu kuota berkenaan yang dikatakan mungkin menjadi punca pemaju hartanah enggan melabur di negeri ini.

Azlan seterusnya memberitahu, bahawa pembangunan hartanah merekodkan kurang enam peratus daripada pendapatan kerajaan negeri dan sehubungan itu bukanlah merupakan sumber pendapatan utama.

Katanya, penentuan kemajuan pembangunan kerajaan negeri pada masa ini bergantung kepada pengutipan cukai tanah.

Dalam pada itu, Azlan menegaskan pihaknya kekal dengan pendirian untuk menolak penanaman ketum sebagai sumber komersial kerana kesannya yang buruk terhadap penduduk di negeri ini sejak sekian lama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×