KUALA LUMPUR – Seramai 204 warga asing ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di dua lokasi iaitu di Cyberjaya, Selangor dan sebuah hotel di Jalan Pudu di sini awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan pertama dibuat di kawasan rumah kongsi di Cyberjaya dan telah menahan seramai 183 warga Indonesia termasuk seorang dari China dan Bangladesh.
“Di sana, seramai 235 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 92 daripadanya adalah lelaki manakala 93 perempuan telah ditahan.
“Operasi kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pudu dan menahan 18 wanita warga asing serta seorang lelaki warga Bangladesh.
“Wanita-wanita yang ditahan dipercayai pelacur daripada warga China, Indonesia, Laos dan Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi di hotel berkenaan di sini awal pagi tadi.
Turut menyertai operasi berkenaan adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.
Mustafar menambah, kesemuanya didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan, tinggal lebih masa dan permit tamat tempoh.
“Mereka yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigresen di Bukit Jalil.
“Tindakan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi yang disertai oleh 222 anggota imigresen itu bermula kira-kira pukul 12 tengah malam dan berakhir pada pukul 4 pagi tadi. – K! ONLINE











