SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berharap mendapat petanda positif mengenai laporan tahap kesihatan Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, daripada doktor pakar di Institut Jantung Negara (IJN) yang merawatnya dalam tempoh dua hari lagi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, rumusan tahap kesihatan itu penting bagi memastikan pihak yang melawatmnya mengetahui hal sebenar ketika kejadian daripada Muhammad Adib sendiri.
Katanya, berdasarkan tahap kesihatannya kini Muhammad Adib sudah boleh berkomunikasi cuma ketika ini tidak dibenarkan masuk (bagi mengambil keterangan) susulan masih mendapat pemantauan dan rawatan rapi daripada doktor pakar.
“Kita sebenarnya berminat selepas dia boleh memberikan isyarat dan boleh menulis. Ini bermakna banyak perkara boleh diketahui dan didengar daripada dia sendiri (berhubung kejadian menimpanya semasa rusuhan itu).
“Harap satu atau dua hari lagi, doktor pakar boleh merumuskan dia boleh dilawat atau tidak. Kita berharap ada petanda positif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, walaupun keadaan Muhammad Adib dikatakan stabil namun kritikal berikutan masih menggunakan mesin-mesin tertentu bagi menstabilkan organ dalamannya.
Muhammad bagaimanapun menegaskan, Muhammad Adib mempunyai semangat kuat dan mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama tunangnya yang banyak membantunya.
“Kita mendoakan dia cepat sembuh dan kembali bertugas,” katanya. – K! ONLINE










