PUTRAJAYA – Status sebagai pelajar baharu tidak menjadi penghalang bagi Atifh Fidzly Abu Bakar, 15, untuk menyesuaikan diri dalam suasana persekolahan seterusnya mencipta kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan hari ini.
Keputusan memperoleh 10A yang dicapai anak bongsu daripada tiga beradik itu sekali gus meletakkannya sebagai antara pelajar mencatat keputusan terbaik PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11(2) Putrajaya.
“Saya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyesuaikan diri dengan kawan-kawan selepas berpindah dari Johor awal tahun ini.
“Pada mulanya memang agak kekok tetapi sokongan daripada ibu bapa serta guru-guru yang baik dan banyak memberi tunjuk ajar menjadikan saya lebih yakin,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini sebentar tadi.
Berkongsi resipi kecemerlangannya, Atifh Fidzly memberitahu, amalan membaca al-Quran dan menjaga solat lima waktu merupakan antara kunci kejayaan mencapai keputusan baik dalam akademik.
“Saya juga sering mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan selepas sesi persekolahan dan akan berbincang dengan rakan-rakan mengenai mana-mana subjek yang kami tidak faham,” katanya.
Seramai tiga orang pelajar tingkatan tiga daripada 128 calon mencatatkan keputusan 10A dalam peperiksaan PT3 di SMK Presint 11(2) Putrajaya. – K! ONLINE











