JERANTUT – Amalan pemakanan sunah menjadi kunci kejayaan Muhammad Ammar Hajmi Mohamad Zaini, 15, apabila muncul satu-satunya pelajar di sekolahnya mendapat keputusan semua A bagi ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan hari ini.
Muhammad Ammar menjadi satu-satunya daripada 150 calon PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP) di sini yang mendapat keputusan 11A.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, dia mengamalkan pemakanan kismis dan kurma bersama air zam-zam hampir setiap hari.
“Alhamdulillah. Berkat makanan sunah ini saya mendapat semua A dalam PT3. Saya tak sangka dapat keputusan yang cemerlang ini.
“Sasaran saya cuma 7A bagi subjek Bahasa Malaysia, Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik dan Kemahiran Hidup,” katanya yang ditemui Kosmo! Online di rumahnya di Kampung Pisang di sini pagi tadi.
Tambahnya lagi, paling tidak disangka apabila dia mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris Lisan yang tidak pernah diperoleh sebelum ini.
“Saya sangat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan yang turut membantu saya untuk mendapat keputusan cemerlang ini,” ujarnya. – K! ONLINE











