KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas keluar daripada UMNO untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 1 Julai lalu.
Jelas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, keputusan untuk menyertai Bersatu selepas bermuhasabah dan memikirkan perkara tersebut dengan mendalam.
Katanya, beliau sentiasa mahukan yang terbaik untuk pengundi Masjid Tanah dan mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan mereka.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana menerima penyertaan saya.
“Semoga Malaysia baharu ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.
“Insya-Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha Bersatu selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita muda di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Masjid Tanah, Melaka dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen daripada peringkat nasional sehingga ke akar umbi,” ujarnya. – K! ONLINE











