KUALA LUMPUR 13 Dis. – Gagasan Nadi Cergas Bhd. merancang untuk meraih RM60 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, jumlah itu melibatkan terbitan awam saham-saham baharu bernilai RM42 juta dan tawaran untuk penjualan bagi saham-saham sedia ada bernilai RM18 juta.
“Sebahagian daripada hasil yang diraih akan digunakan bagi segmen utiliti untuk operasi sistem penyejukan (DCS) di bawah projek pembangunan Datum Jelatek.
“Selain itu langkah ini juga membolehkan syarikat untuk mendapatkan pembiayaan separa bagi projek pembangunan bercampur Persekutuan Bola Sepak ASEAN di Putrajaya,” katanya pada majlis pelancaran prospektus IPO Gagasan Nadi Cergas di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











