KUALA LUMPUR – Satu projek menaiktaraf jalan di pedalaman Sarawak didakwa tidak menepati piawaian dan gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor rasuah.
Satu sumber mendakwa, projek melibatkan seorang penjawat awam bergelar Datuk Seri itu bermula pada tahun 2009 dan sepatutnya disiapkan pada 31 September 2011.
“Bagaimanapun, projek bernilai RM250 juta itu dibina menggunakan bahan yang bermutu rendah kerana mengalami kerosakan tidak sampai beberapa tahun selepas ia dibina,” dakwanya di sini hari ini.
Dakwanya, projek itu sepatutnya memberi keselesaan dan menambah mutu kehidupan penduduk pedalaman Sarawak.
Dakwa sumber itu, Datuk Seri yang pernah menerajui sebuah kementerian itu menggunakan aset agensi berkenaan untuk mengendalikan projek tersebut bagi menjimatkan kos dan menggelapkan wang lebihan.
Sehubungan itu, sumber itu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya menjalankan siasatan berhubung penyelewengan tersebut. – K! ONLINE











