CYBERJAYA – Universiti Limkokwing terus mengukuhkan jenamanya di benua Afrika menerusi pembukaan empat kampus baharu di Namibia, Uganda, Nigeria dan Rwanda seawal bulan Mac tahun depan.
Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kerja-kerja asas bagi pembukaan kampus di Namibia, Uganda serta Nigeria telah dimulakan dengan pengambilan pelajar sulung dijadualkan pada Mac.
Jelasnya, pembukaan kampus Universiti Limkokwing di Rwanda pula disasarkan pada tahun 2020, menjelang Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 yang bakal diadakan di sana pada tahun berkenaan.
“Kehadiran kami adalah daripada jemputan kerajaan negara tersebut, jadi kami dapat melangkau banyak prosedur dan halangan, malah mereka turut menyediakan tempat seperti bangunan dan kompleks yang tidak digunakan.
“Kami sepatutnya mula beroperasi pada Januari depan untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan menyiapkan fasiliti serta infrastruktur kampus. Selain itu, kami juga telah memiliki sejumlah pelajar tersedia, kebanyakannya mendapat biasiswa kerajaan dan industri di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama media di kampus utama Universiti Limkokwing di sini semalam.
Menurut Raja Aznil, pihaknya menyasarkan pendaftaran sekurang-kurangnya 500 orang pelajar di setiap kampus baharu Limkokwing, bagaimanapun menjelaskan jumlah pelajar sebenar sebanyak 2,000 orang.
“Penerimaan terhadap universiti kami di Afrika adalah amat membanggakan. Kehadiran Limkokwing ke benua itu melangkaui sektor pendidikan tetapi juga memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Kehadiran kami di Botswana misalnya, telah melahirkan kira-kira 10,000 graduan sejak 12 tahun lalu sekali gus mentransformasi industri negara itu.
“Dahulu hanya ada satu stesen televisyen di sana dan kandungannya diambil dari Johannesburg, kini sudah ada stesen swasta yang digerakkan oleh alumni Universiti Limkokwing,” katanya.
Universiti Limkokwing kini memiliki kampus di Bostwana, Lesotho, Eswatini (sebelum ini Swaziland), Sierra Leone dan London, United Kingdom selain Kuching, Sarawak.











