KANGAR 13 Dis. – Para pemain Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) musim 2018 kini mengakui semakin resah meskipun tinggal beberapa hari sahaja lagi tunggakan selama enam bulan gaji mereka akan dibayar.
Perkara tersebut ada asasnya berikutan kesemua mereka yang berjumlah seramai 18 orang itu, tidak terpilih mengikuti sesi latihan bagi musim depan yang sudah pun bermula.
Berdasarkan kontrak yang ditandatangani kesemuanya baru-baru ini, semua tunggakan berjumlah lebih RM1 juta itu akan dibayar bersama gaji mereka selaku pemain pada musim depan.
Menurut sumber, dalam hal yang sama, pihak pengurusan turut bersetuju untuk mengekalkan gaji yang sama seperti mana sebelum ini.
“Mengikut kontrak itu, pembayaran akan hanya dibuat secara berperingkat-peringkat bermula 27 Disember ini sehingga Mei depan.
“Namun yang peliknya, sampai sekarang mengapa pemain tidak dipanggil mengikuti latihan. Adakah mungkin gaji pemain ini tidak akan dibayar (kerana tidak mengikuti latihan) dan begitu juga tunggakan? soalnya ketika dihubungi.
Tambah sumber itu, sebaliknya kesemua pemain yang mengikuti latihan kini adalah terdiri daripada muka-muka baharu.
“Pihak pengurusan pula sudah membuat kenyataan media baru-baru ini, bahawa isu gaji PFA telah selesai, sedangkan ia belum lagi,” katanya.
Soal tunggakan gaji melibatkan pasukan Singa Utara itu semakin rumit apabila pemain membawa masalah berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Pasukan itu menerusi Presidennya yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie yang dilantik pada Oktober lalu, kemudian menawarkan kontrak kepada pemain dan pengurusan bagi menyelesaikan isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE











