Jambatan sementara Pulau Setelu mula dinaiki air - Utusan Malaysia

Jambatan sementara Pulau Setelu mula dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Jambatan sementara Pulau Setelu yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli mula dinaiki air selepas jambatan itu ditenggelami air Sungai Nenggiri akibat hujan lebat berterusan.

Jambatan sementara itu mulai dinaiki air kira-kira pukul 7 pagi ini apabila berlaku hujan berterusan sejak malam tadi.

Seorang penduduk kampung, Mohd. Shafie Abdullah, 40, berkata, pengguna perlu berhati-hati kerana air mungkin akan semakin meningkat akibat sisa kayu yang melekat pada jambatan.

“Sejak semalam berlaku hujan di bandar ini dan kawasan pedalaman.

“Penduduk juga sudah menyediakan bot kerana bimbang berlaku kes kecemasan dan jalan perhubungan ke bandar Gua Musang terputus,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

jambatan banjir
Orang ramai dinasihati untuk tidak melalui jambatan sementara tersebut sekiranya air naik dan perlu menggunakan laluan alternatif lain

 

Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Aziz Harun, 31, berkata, rutin harian untuk ke bandar Gua Musang tergendala apabila air semakin melimpahi jambatan.

“Saya yang menunggang motosikal terpaksa berpatah balik ke rumah. Sudah lebih tiga tahun masalah perhubungan ini membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli.

“Setiap kali hujan lebat pergerakan kami terbatas selepas jambatan sementara ini ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, anggotanya telah dikerahkan ke lokasi untuk memantau keadaan.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak melalui jambatan sementara itu sekiranya air naik dan menggunakan laluan alternatif lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×