Hishammuddin nafi jadi dalang - Utusan Malaysia

Hishammuddin nafi jadi dalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dirinya menjadi dalang atau terlibat dalam usaha menarik ahli-ahli Parlimen UMNO dan wakil-wakil rakyat Sabah untuk keluar parti.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, tuduhan liar terhadapnya sejak enam bulan lalu itu adalah tidak benar.

Katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa perkaitan dengan keputusan yang menyebabkan ada dalam kalangan ahli UMNO dan wakil rakyat keluar parti.

“Terdapat begitu banyak tuduhan terhadap saya mengenai UMNO dalam enam bulan yang lepas, semuanya tidak benar. Perkembangan terkini di Sabah, saya dikaitkan sekali lagi.

“Tegas saya katakan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan terhadap keputusan tersebut,” katanya dalam status Facebook milik beliau, hari ini.

Terdahulu, dalam laporan Malaysiakini hari ini, beberapa sumber dalaman UMNO mendakwa Hishammuddin adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah.

Sumber berkenaan memberitahu Malaysiakini demikian selepas diminta menerangkan kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter ketika mengulas tindakan puluhan pemimpin dan wakil rakyat yang meninggalkan parti itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×