Dana pendeposit Tabung Haji dihadkan - Utusan Malaysia

Dana pendeposit Tabung Haji dihadkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Lembaga Tabung Haji sedang mengkaji untuk meletakkan had bagi dana setiap pendeposit di masa depan sebagai satu daripada langkah untuk mengurangkan liabiliti kerajaan dan pendedahan kepada pendeposit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Zukri Samat berkata, langkah itu untuk mengehadkan deposit individu pada kadar sesuai sebagai sebahagian pelan penstrukturan semula perniagaan Tabung Haji yang sedang menunggu kelulusan lembaga.

“Pendeposit adalah dijamin oleh kerajaan iaitu kerajaan perlu membayar penuh sekiranya apa-apa berlaku terhadap dana itu, tidak seperti institusi perbankan lain yang hanya perlu membayar maksimum RM250,000 melalui Perbada­nan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kepada pendeposit tanpa mengira berapa banyak wang yang mereka depositkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, cadangan itu tidak akan dilaksanakan sekarang kerana lembaga sedang mengendalikan beberapa isu berkaitan penge­lua­ran panik oleh pendeposit, dicetuskan oleh beberapa salah lapor berhubung dana Tabung Haji baru-baru ini.

“Kami tidak akan laksanakannya sekarang kerana ia akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi kami ketika ini (pengeluaran panik). Kami mahu membiarkan keadaan yang dihadapi sekarang reda dan selesai dahulu sebelum kami melaksanakan cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran oleh pendeposit di tahap lebih tinggi daripada biasa pada Selasa, didorong oleh laporan be­rita.

Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji diumumkan di Parlimen baru-baru ini, mendedahkan jumlah deposit amat tinggi dalam kalangan segmen kecil pendeposit, iaitu 1.3 peratus atau 117,000 pendeposit menyumbang kepada 50 peratus deposit, termasuk seorang pendeposit yang mempunyai lebih RM190 juta dana.

Zukri berharap penstrukturan semula perniagaan akan mengembalikan semula Tabung Haji kepada objektif asal penubuhannya iaitu untuk membantu umat Islam menunaikan haji.

“Kami mahu kembali kepada mandat asal kami. Kami sedang menyemak model perniagaan kami, termasuk pelaburan sedia ada dalam beberapa sektor yang tidak memberikan pulangan positif.

“Kami telah memulakan pro­ses semakan tetapi kami sebenarnya masih belum pergi ke lembaga untuk pengesahan. Kami tahu sektor apa yang kami mahu keluar daripadanya, yang tidak menjana wang untuk kami seperti teknologi maklumat dan perladangan,” jelasnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×