IPOH 12 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang mengumpul bahan bukti kes kebakaran yang mengorbankan enam individu di sebuah rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju di sini semalam.
Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, bahan bukti yang dikumpul itu akan dianalisis di Makmal Penyiasatan Kebakaran Bomba di Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur.
Katanya, penelitian juga sedang dilakukan pihaknya ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Unit Forensik JBPM negeri dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) telah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan beberapa sampel telah diambil untuk dihantar ke makmal forensik bomba di Kuala Lumpur.
“Setakat ini kita masih belum boleh mengesahkan punca kejadian dan maklumat daripada saksi mata kebakaran itu berpunca daripada letupan di tingkat satu bangunan.
“Ini adalah kes besar dan pihak bomba akan menjalankan siasatan dengan lebih terperinci daripada pelbagai aspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.











