KUALA LUMPUR 12 Dis. – Persepsi berkaitan golongan belia bekerjaya di Malaysia disifatkan sebagai terlalu memilih pekerjaan untuk gaji tinggi adalah tidak tepat.
Ketua Penulis Laporan Kaji selidik Peralihan Pelajar Ke Pekerjaan (SWTS), Dr. Lim Lin Lean berkata, hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Khazanah mendapati, pendapatan tinggi menduduki tangga keempat dalam senarai keutamaan pekerjaan golongan tersebut.
Ujarnya, laporan itu menggariskan belia tidak seharusnya dilabel sebagai memilih pekerjaan kerana banyak daripada mereka yang bekerja dalam bidang berkemahiran rendah biarpun memiliki taraf pendidikan tinggi.
“Kebanyakan mereka memiliki pekerjaan lebih rendah atau di luar daripada kelayakan akademik yang dimiliki,” katanya pada Majlis Pelancaran Laporan SWTS di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Kaji selidik itu dijalankan ke atas belia berumur 15 hingga 29 tahun di Malaysia.
Laporan itu juga berkata, kaji selidik mendapati para belia di Malaysia melihat pekerja asing sebagai antara ancaman terhadap peluang-peluang pekerjaan.
“Mereka inginkan kerja-kerja berkemahiran tinggi yang lazimnya dimiliki oleh golongan ekspatriat kerana kerja-kerja berkemahiran rendah yang lazimnya kotor, sukar dan berbahaya (3D) menawarkan gaji lebih rendah di Malaysia berbanding di Singapura,” katanya.
Selain itu Lin Lean berkata, antara punca-punca kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia di negara ini adalah kerana mereka menjangkakan kadar gaji tidak realistik.
“Majikan pula mengadu graduan yang baru tamat pengajian meminta gaji permulaan antara RM2,400 sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.











