IPOH 12 Dis. – Hujan renyai mengiringi pengebumian lima sahabat yang terkorban dalam kejadian kebakaran rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju di sini semalam.
Mangsa terlibat ialah Ahmad Faizal Aminuddin,16; Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; dan Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15.
Jenazah kesemua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari Hilir sekitar pukul 8 malam ini.
Kelima-lima jenazah berkenaan yang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menaiki lima buah van berasingan tiba di pekarangan tanah perkuburan tersebut pada pukul 7.30 malam dengan diiringi kereta peronda polis.
Terdahulu, jenazah lima sekawan itu tiba di Masjid Idrisiah Kampung Kuala Pari di sini pada pukul 6.35 petang dan disembahyangkan buat kali terakhir oleh lebih 100 jemaah di masjid tersebut.
Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah kesemua mangsa dengan lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung hadir menghadiri majlis pengebumian.
Keluarga mangsa kelihatan sugul dan tidak dapat menahan sebak dengan ada daripada mereka yang mengalirkan air mata semasa talkin dibacakan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.54 petang itu, kelima-lima mangsa dan seorang lelaki, P. Thiagarajan, 40, dipercayai pemilik premis, ditemukan rentung di tingkat atas premis berkenaan yang terbakar dipercayai akibat bahan letupan. – UTUSAN ONLINE











