PULAU Manampilik, Pulau Sipadan, Pulau Danawan, Pulau Mataking dan Pulau Sibuan antara lokasi yang menarik untuk dikunjungi di Semporna, Sabah walaupun sebelum ini ramai berpendapat lokasi itu berisiko tinggi.
Namun, keadaan kini sudah berubah berikutan terdapat pos-pos keselamatan tentera di setiap penjuru pulau berkenaan.
Kehadiran pasukan tentera di bawah operasi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) itu bagi memastikan Op PASIR (Padanan and Sipadan Island Resort) yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat memberi sumbangan besar kepada keselamatan Sabah.
Sikap tegas dan disiplin tinggi dalam soal keselamatan oleh ATM meletakkan pulau-pulau berkenaan selamat untuk dikunjungi.
Tugas ATB2 bukan sahaja menghalang pulau-pulau milik Malaysia itu daripada diceroboh, malah memastikan keselamatan pelancong dengan menghalang penculikan dan sebagainya.
Secara langsung khidmat yang dicurahkan oleh ATB2 turut memberi tempias kepada penduduk di beberapa pulau seperti Manampilik, Danawan dan sebagainya.
Penduduk kini dapat menjalani rutin harian mereka dengan selamat termasuk menangkap ikan, berniaga, melaksanakan perusahaan gamat dan banyak lagi.
Di samping itu, kehadiran ATB2 juga antara lain bagi membantu penduduk termasuk yang memerlukan bantuan perubatan selain menjadi pengantara bagi menyelesaikan kemelut sesama penduduk.
Setakat ini, peranan yang dilakukan oleh ATB2 berjaya menyakinkan pelancong dan penduduk bahawa langkah kerajaan meletakkan tentera di perairan Semporna mampu menangani pelbagai masalah.











