KUALA LUMPUR 12 Dis. – Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Sabah mengambil ketetapan untuk memberi ruang bertenang berhubung perkembangan terkini kedudukan parti di negeri tersebut.

Menurut kenyataan bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Datuk Dr. Jainab Ahmad Ayid dan Ketua pergerakan Puteri UMNO negeri, Fadilah Sarbi, kedua-dua sayap itu belum membuat keputusan sama ada untuk terus kekal ataupun turut sama meninggalkan UMNO.
“Kami belum mengambil keputusan kerana Ketua-ketua Wanita Bahagian di Sabah perlu memberi penerangan kepada ahli-ahli jawatankuasa wanita di bahagian masing-masing dan seterusnya kepada ahli-ahli wanita di akar umbi.
“Pihak kami juga akan membuat keputusan setelah selesai mengadakan perbincangan bersama dengan ahli-ahli dan mendapat maklum balas daripada mereka sebelum bertindak meletak jawatan secara beramai-ramai dan menghantar borang tersebut kepada pihak berkenaan jika perlu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum itu, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor bersama barisan kepimpinan lain bertindak keluar UMNO hari ini.
Secara keseluruhannya, yang meninggalkan UMNO Sabah terdiri daripada enam Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian negeri. – UTUSAN ONLINE











