Pendeposit TH disaran tidak keluar simpanan terburu-buru - Utusan Malaysia

Pendeposit TH disaran tidak keluar simpanan terburu-buru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyarankan pendeposit Tabung Haji (TH) supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru mengeluarkan simpanan mereka di institusi kewangan berkenaan.

Katanya, walaupun wujud kesilapan pentadbiran Lembaga Tabung Haji terdahulu, namun adalah tidak wajar jika ada pendeposit mahu bertindak sedemikian kerana institusi berkenaan turut berperanan menjaga kebajikan jemaah haji dan bukan tertumpu kepada sektor ekonomi semata-mata.

“Tidak wajar (mengeluarkan simpanan daripada TH) kerana apa yang penting kita kena perbaiki TH. Jangan sebab nyamuk seekor, kita bakar kelambu. Kalau ada silap (dalam pentadbiran TH), kita perbetulkan,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran sebuah akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika disoal seorang penonton program berkenaan yang memintanya mengulas mengenai kewajaran pendeposit TH mengeluarkan simpanan mereka dan menabung di bank lain.

Baru-baru ini, TH membuat laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur melibatkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta kakitangan pengurusan kanan susulan dakwaan terlibat dalam penggelapan wang pendeposit bank itu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×