Seluruh Pulau Kukup kekal Taman Negara - MB - Utusan Malaysia

Seluruh Pulau Kukup kekal Taman Negara – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 12 Dis. – Kerajaan negeri bersetuju menjadikan keseluruhan Pulau Kukup kekal diwartakan sebagai Taman Negara Johor di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, menerusi pewartaan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor itu, maka status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor akan kekal.

“Perbadanan Taman Negara Johor akan bertanggungjawab dalam memelihara keaslian dan keadaan semulajadi kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menerusi Facebook baginda itu, dimuat naik sekeping gambar pertemuan Osman dan Sultan Ibrahim yang dilakukan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini dengan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Pada 5 Disember lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah tersebut supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Osman berkata, justeru bagi memastikan kedaulatan tanah yang strategik tersebut dilindungi, maka kerajaan negeri juga memasukkan keseluruhan kawasan pulau di Pontian itu ke dalam Jadual II Enakmen Tanah Kesultanan 1934.

Jelas beliau lagi, tujuan tersebut bagi memastikan kedaulatan tanah yang strategik itu dilindungi dan terpelihara.

Osman mahu semua pihak yang mengaku mendokong keluhuran Perlembagaan harus menghormati kuasa-kuasa negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×