PUTRAJAYA 12 Dis. – Ketegangan yang menyusul antara Malaysia dan Singapura adalah tidak perlu dan boleh dielakkan dengan melaksanakan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar, dan bukannya Landasan 21 di sebelah utara yang dibantah, kata Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT Malaysia).
Mengenai perkembangan terbaharu ini, MoT Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyatakan penghargaan secara ikhlas kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) atas komitmennya untuk membangunkan tatacara penerbangan instrumen untuk Landasan 03 dalam ruang udara kedaulatan Singapura.
“MoT Malaysia yakin sepenuhnya bahawa melalui beberapa kreativiti, tatacara ILS yang baharu untuk Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar, yang dijamin oleh CAAS semasa mesyuarat dengan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) pada 29 Nov 2018, tidak akan memberikan apa-apa kesan tambahan kepada pengguna ruang udara yang lain, perniagaan dan penduduk di Singapura, “kata kenyataan itu.
Malaysia membantah penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen baharu oleh Singapura di Lapangan Terbang Seletar kerana menceroboh ruang udara Malaysia, dan dijangka berkuatkuasa pada 3 Jan.
Tatacara ILS merujuk kepada kaedah pendaratan yang dibantu alat pandu arah di lapangan terbang yang memberi panduan kepada juruterbang semasa penerbangan menurun dan merapati landasan.
Dalam kenyataan hari ini, MoT Malaysia berpandangan bahawa langkah Singapura secara unilateral untuk menyiarkan tatacara ILS yang baharu untuk Lapangan Terbang Seletar melalui Penerbitan Maklumat Aeronautika (AIP) memang jelas mencabuli kedaulatan Malaysia dan melanggar standard antarabangsa.
MoT Malaysia dalam kenyataan itu juga mengulangi bahawa tidak pernah. CAAM bersetuju atau memberi kebenaran untuk penyiaran tatacara ILS yang baharu untuk lapangan terbang Seletar.
Berhubung kenyataan MoT Singapura pada 10 Dis (2018), MoT Malaysia berkata ia bersetuju sepenuhnya bahawa ada baiknya jika rundingan dirahsiakan untuk membantu pertukaran secara terus-terang dan konstruktif. ”Ia adalah soal prinsip bagi MoT Malaysia tidak menyiarkan surat-menyurat antara pihak-pihak berkaitan untuk menangani pertanyaan media dan untuk mendapatkan sokongan orang ramai,” kata kementerian.
Pada Isnin, Malaysia meminta pendedahan penuh mengenai laluan penerbangan Lapangan Terbang Seletar yang dipertikaikan dengan menyiarkan lebih banyak surat, selepas MoT Singapura pada 4 Dis mengeluarkan dokumen berkaitan perundingan yang diadakan dengan Malaysia mengenai tatacara ILS yang dicadangkan, yang MOT Malaysia menyifatkan pendedahan itu sebagai “separa dan selektif “.
MoT Singapura dalam responnya berkata, ada baiknya rundingan dirahsiakan untuk membantu pertukaran pandangan secara terus-teraang dan konstruktif sambil menambah “inilah sebabnya kami tidak menyiarkan apa-apa surat-menyurat antara Singapura dan Malaysia mengenai perkara ini.”
MoT Malaysia berkata perbincangan pada 30 Nov (2018) hanya mengkaji rekod perbincangan hari sebelumnya (29 Nov) terutama mengenai Pengurusan Surat Perjanjian 1974 dan keputusan Malaysia untuk mengambil balik ruang udara kedaulatan yang diwakilkan kepada Singapura untuk penyediaan perkhidmatan trafik udara , dan tatacara ILS yang baharu untuk Lapangan Terbang Seletar.
“Untuk ini, MoT Malaysia ingin mengulangi bahawa tidak pernah CAAM, sama ada bersetuju atau memberi kebenaran bagi penyiaran tatacara ILS yang baharu untuk lapangan terbang Seletar. – BERNAMA











