KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan,Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah bagi menggantikan Datuk Hajiji Mohd. Noor yang keluar parti.
Sementara Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Yakub Khan dilantik sebagai timbalan Bung Moktar; Timbalan Ketua UMNO Kinabatangan, Jeffry Ariffin (setiusaha) dan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimi Unggi dilantik sebagai ketua penerangan UMNO negeri.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka yang dilantik akan memperkemaskan susunan ahli-ahli badan perhubungan negeri.
Katanya, mereka akan memangku jawatan-jawatan bahagian yang telah meletak jawatan.
“Bermula esok, saf UMNO Sabah akan dilengkapkan dan berjalan seperti biasa.
“Dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bersama-sama untuk bertemu dengan kepemimpinan UMNO Sabah, esok,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn hari ini. – UTUSAN ONLINE











