SEREMBAN 12 Dis. – Masjid di Negeri Sembilan digalak menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Negeri Sembilan Datuk Ibrahim Abdullah berkata setakat ini hanya 44 daripada 293 buah masjid di negeri itu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menubuhkan koperasi.
Katanya daripada 44 itu pula, hanya hanya 25 yang aktif.
“Kesedaran terhadap koperasi dalam kalangan pegawai masjid didapati masih rendah dan ia perlu ditingkatkan. Dalam hubungan ini, Angkasa menggalakkan setiap masjid supaya membangunkan koperasi sendiri.
“Koperasi merupakan gerakan kerjasama antara umat Islam bagi bersama-sama membuat kebaikan. Kita hendak menggalakkan setiap kariah ada gerakan koperasi dan aktiviti yang dijalankan bergantung pada setiap masjid itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Bengkel Pembangunan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Sembilan 2018, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad telah ditubuhkan dengan 23 buah masjid di seluruh negara menjadi anggotanya.
Ibrahim yang juga Bendahari konsortium itu berkata penubuhan konsortium adalah sebagai langkah membangunkan dan memantapkan koperasi masjid agar berkemampuan meneroka bidang perniagaan lebih luas.
“Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad mempunyai rancangan untuk membantu perniagaan koperasi masjid,” katanya. – BERNAMA










