JERTEH – Remaja berusia 13 tahun yang dikhuatiri lemas ketika memancing di sungai berdekatan Empangan Jajar, Kampung Gong Duek di sini pada 9 Disember lalu, ditemui terdampar di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Mohd. Zamri Omar berkata, ketika ditemui, mayat Mohd. Syarif Zulkifli berada di tebing sungai dipercayai selepas air sungai surut.
“Setelah lebih tiga hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, mayat mangsa ditemui anggota penyelamat ketika melakukan rondaan di kawasan pesisir sungai,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mayat pelajar tingkatan satu itu diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Besut.
Mohd. Syarif sebelum ini hilang ketika memancing bersama adik lelakinya berusia 10 tahun pada petang Ahad lalu.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba mengambil pancingnya yang terjatuh ke dalam sungai. – Bernama











