PULAU PINANG 13 Dis. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini menyerahkan perjuangan untuk mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Ini kerana, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kerajaan negeri menerusi semua peruntukan undang-undang yang ada telah berusaha untuk membolehkan pilihan raya PBT dilaksanakan, namun tidak berhasil sehingga kini.
Sementelah, kata beliau, Zuraida juga memperlihatkan pendirian bersetuju dengan pilihan raya PBT itu meskipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah bertegas pilihan raya berkenaan tidak akan diadakan.
“Kerajan negeri sudah melakukan apa yang boleh dibuat di sisi undang-undang, melainkan meminda Akta Kerajaan Tempatan kerana perkara itu adalah di bawah Kerajaan Pusat.
“Jadi, kita serahkan bahagian perjuangan ini kepada Menteri (Zuraida) untuk teruskan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











