PULAU PINANG 12 Dis. – Penduduk di negeri ini dipelawa untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan percuma yang ditawarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi program turun padang sempena Pesta Pulau Pinang 2018 di Sungai Nibong di sini.

Pengarah Pilihan Raya negeri, K. K. N. Raveendran Nair berkata, pihaknya membuka kaunter sepanjang pesta itu berlangsung iaitu sehingga 31 Disember ini.
Ujarnya, kaunter SPR itu dibuka di Gerai B23 berhampiran pondok polis dan boleh dikunjungi bermula pukul 6 petang hingga 11 malam.
Menurut beliau, antara perkhidmatan yang disediakan adalah pendaftaran pemilih baharu; permohonan pertukaran alamat tempat mengundi mengikut alamat terkini di dalam kad pengenalan serta semakan daftar pemilih.
“Turut disediakan adalah perkhidmatan aduan terutamanya kepada warganegara yang menghadapi masalah berkaitan daftar pemilih yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Raveendran Nair, selain perkhidmatan tersebut, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah dan tayangan video berkaitan urusan pilihan raya.
Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menyediakan sudut informasi sejarah pilihan raya umum di negara ini selain khidmat nasihat berkaitan fungsi-fungsi SPR secara keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE











