Ular sawa 6 meter menyusur bawah jengkaut - Utusan Malaysia

Ular sawa 6 meter menyusur bawah jengkaut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Seorang pemandu jengkaut terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sepanjang enam meter menyusur di bawah jentera yang sedang dikendalikannya di Kampung Ulu Teh di sini semalam.

Musliadi Md. Yusuf, 33, yang berasal dari Acheh, Indonesia berkata, ular sawa tersebut dijumpai kira-kira pukul 10 pagi ketika melakukan kerja membersihkan kawasan pinggir hutan di kampung itu.

“Semasa membersihkan pinggir hutan di kawasan milik tuan tanah, tiba-tiba seekor ular sawa keluar dari celah batu dan menyusur di bawah jengkaut.

“Saya terkejut kerana ular sawa itu sangat besar dan berbahaya kalau ia terserempak dengan manusia,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Difahamkan, kehadiran reptilia pemangsa seberat kira-kira 80 kilogram berkenaan dipercayai berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan di tanah milik persendirian bagi tujuan membuka kawasan pertanian baharu.

Ujar Musliadi, dia segera mengundurkan jengkaut untuk mengelak diri daripada diserang reptilia pemangsa tersebut yang berkelakuan agresif.

“Saya berhati-hati mengalihkan ular itu dengan jengkaut supaya ia tidak tercedera. Semasa dialihkan, ular itu mengeluarkan sebatang duri landak dari mulutnya. Mungkin dia baru lepas telan seekor landak.

“Duri landak itu saya masih simpan. Ular itu dilepaskan semula ke hutan berhampiran. Saya bekerja di kawasan hutan selama 14 tahun dan ini kali pertama melihat ular sawa sebesar itu,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×