KUALA LUMPUR 12 Dis. – Model telefon bimbit terbaharu keluaran OPPO, OPPO R17 Pro layak dikategorikan sebagai telefon paling seksi 2018.
Hal ini kerana kilauan warna cerun ungu ke biru pada bahagian belakang model telefon ini ternyata mampu menarik minat sesiapa sahaja yang memandangnya.
Spesifikasi
Jika dilihat secara kasar, rekaan skrin bersaiz besar iaitu 6.4 inci dengan resolusi 1080 x 2340 piksel (FHD+) boleh memberikan kepuasan tertentu kepada pengguna.
Misalnya bagi mereka yang berminat untuk bermain permainan video, warna terang yang dihasilkan menghasilkan mod yang tersendiri.
Begitu juga sewaktu menonton rakaman video, kelebaran landskap OPPO R17 Pro menjadikan telefon bimbit ini selesa untuk dipegang.

Bercakap tentang kamera utamanya, OPPO R17 Pro direka dengan sensor tri-kamera yang memiliki fungsi yang tersendiri.
Model telefon bimbit ini dilengkapi dengan kamera 20MP + 12MP kamera serta Smart Aperture F/1.5+F/2.4 yang akan berubah mengikuti cahaya sekeliling.
Sensor 12MP dengan bukaan F/2.4 dan F/1.5 akan dilaras apabila pengguna menukar mod biasa kepada mod malam dan begitu juga sebaliknya.
Sensor kedua 20MP F/2.6 pula berupaya mengambil gambar bokeh selain sensor kamera time-of-flight (TOF) berfungsi menghasilkan model 3D berdasarkan objek yang dilihatnya.

Sinonim sebagai sebuah telefon yang terbaik bagi penggemar swafoto juga, reka bentuk kamera hadapan 25 Megapixel (F2.0) yang dilengkapi cahaya lembut amat sukar untuk mengecewakan pengguna setianya.
Lebih-lebih lagi kameranya adalah dari Sony IMX576 yang dikuasakan dengan ciri AI yang mampu menghasilkan sehingga 8 juta kombinasi efek kecantikan yang akan dipadankan dengan penguna.

Mod Kamera
Kamera keluaran model terbaharu OPPO R17 Pro ini dilengkapi dengan tujuh ciri utama seperti Mod Pakar, Mod Panorama, Mod Foto Biasa, Mod Potret, Video, Mod Malam Ultra dan AR Pelekat.

Jadi, pengguna boleh memilih mana-mana ciri untuk digayakan sewaktu mengambil gambar dengan peranti yang menggunakan sistem pemprosesan Qualcomm SDM710 Snapdragon 710 ini.
Sistem Keselamatan
Kebanyakan telefon bimbit hari ini hanya dilengkapi dengan sistem kata laluan untuk memastikan kandungannya tidak boleh diakses oleh orang yang tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya.
Menyedari akan bahaya hal itu, OPPO R17 tampil dengan sistem keselamatan tambahan iaitu dengan penggunaan imbasan cap jari.
Dalam erti kata lain, hanya tuan punya telefon sahaja boleh mengaksesnya sebelum menyerahkan kepada orang lain untuk melihat ‘rahsia’ yang ada dalam telefon bimbit tersebut.
Cip Pemproses & Memori
OPPO R17 Pro dijana dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 710 selain dimuatkan dengan memori RAM sebesar 8GB.
Menariknya lagi, telefon bimbit ini mampu menampung storan seluas 128GB untuk pelbagai aktiviti bagi setiap aplikasi yang digunakan walaupun ia tidak memiliki ruang untuk kad micro SD.
Dalam masa sama, ia menggunakan sistem Android 8.1 Oreo yang berkulitkan ColorOS 5.2.
Bateri & Rangkaian
OPPO R17 Pro memiliki SuperVOOC Flash Charge. Perkara ini menjadikan kapasiti bateri Li-Po 3700 mAh yang terbina di dalamnya mampu dicas sebanyak 92 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.

Selain itu, model telefon bimbit ini turut menyokong sambungan 4G LTE-A berserta Dual-SIM.
Harga
Harga bagi OPPO R17 Pro yang diperkukuhkan dengan pelindungan Corning Gorilla Glass 6 ini sudah boleh dibeli dari Kedai Konsep OPPO dan pengedar-pengedar yang sah di seluruh Malaysia dengan harga RM2,699. – UTUSAN ONLINE











