KLANG – Seorang isteri hanya mampu melihat penderitaan suaminya yang kini terpaksa terlantar hampir sebulan lalu akibat masalah usus.
Bagi Nusiah Ismail, 56, tidak ada apa yang diharapkannya melainkan hanya mahu melihat suaminya, Abdullah Midun, 73, kembali pulih seperti sedia kala.
Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Sireh Tambahan, di sini bagaimanapun merasai sedikit kesulitan apabila mengenangkan keadaan kewangan keluarganya yang tidak mampu untuk menampung rawatan suaminya kerana tidak bekerja.
“Selama hari ini hanya anak saya yang membantu kehidupan kami sekeluarga. Saya ada dua orang anak, tetapi nak mengharapkan mereka semata-mata sukar juga kerana masing-masing ada keutamaan kepada keluarga.
“Jika ada sedikit bantuan kewangan, lega sedikit bebanan saya keluarga,” katanya yang turut memberitahu rumah yang didiami ketika ini turut mengalami kerosakan.
Terdahulu, Nusiah menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Abdullah yang juga bapa saudaranya selain menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Orang ramai yang ingin sama membantu meringankan keluarga Nusiah boleh menghubungi beliau di talian 0132382875 untuk maklumat lanjut.
Dalam perkembangan lain, Abu Bakar turut berkesempatan meninjau keadaan menara azan di Surau Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini yang telah uzur serta memerlukan pembaikan segera.
Hadir sama meninjau ialah Pengerusi surau berkenaan, Ahmad Ismail. – K! ONLINE











