Adik meragam cari abang - Utusan Malaysia

Adik meragam cari abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 12 Dis. – “Abang mana mak? Abang kerja ke, kenapa abang tak balik-balik lagi”.

Luluh hati seorang ibu apabila pertanyaan sama diulang-ulang oleh anak perempuan bongsunya yang berusia empat tahun tanpa dia mampu untuk menceritakan keadaan sebenar menimpa abang kesayangan kanak-kanak itu.

Azizul Razlan, 42, berkata, anak bongsunya itu yang sememangnya rapat dan manja dengan Muhamad Azhar Shah serta tidak pernah berjauhan itu meragam apabila mendapati abangnya masih belum pulang ke rumah.

Malah katanya, sejak malam tadi, Maisarah Umairah tidak lena tidur dan sering terjaga sambil bertanyakan abangnya itu.

“Mereka memang rapat dan Maisarah memang manja dengan abangnya. Lagipun Muhamad Azhar memang rajin melayan, kadang-kadang mereka main game, tengok Upin Ipin dan buat Tik Tok sama-sama.

“Mereka memang tidak pernah berenggang dan mesti dia pelik kenapa abangnya tidak balik-balik lagi. Saya tak tahu macam mana nak terangkan, saya takut dia demam,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Azizul, dia mengetahui Muhamad Azhar bekerja di premis yang terbakar itu dengan membantu memasang khemah namun tidak mengetahui tugas yang dilakukan anaknya secara terperinci.

Katanya, anak keempat daripada 10 beradik itu sememangnya rajin bekerja dan sering mencari peluang pekerjaan bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

“Dia memang anak yang rajin, mana sahaja ada kerja dia akan pergi. Dia selalu cakap nak tolong saya dan belanja adik perempuannya itu, nak bawa jalan-jalan dan belikan coklat.

“Sejak semalam saya sukar percaya yang anak saya telah tiada. Kejadian ini berlaku tiba-tiba dan kehilangannya betul-betul beri kesan mendalam kepada kami,” katanya.

Selain Muhamad Azhar, 19, turut terkorban dalam kejadian pada pukul 1.54 petang itu empat rakannya iaitu Ahmad Faizal Aminuddin,16; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16, Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15, dan seorang lelaki dipercayai pemilik premis, P. Thiagarajan, 40. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×