SHAH ALAM 12 Dis. – Ada yang tidak senang dengan keinginan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mahu menjadikan Bandar Raya Shah Alam sebagai kawasan uji kaji bagi pilihan raya kerajaan tempatan.

Suara tersebut bukannya datang dari pembangkang tetapi oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, yang dipercayai bagi mewakili pendirian Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya berpandangan adalah wajar dan bijaksana sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan merujuk kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan terutamanya membabitkan Shah Alam yang merupakan pusat pentadbiran Selangor.
“Saya berharap agar semua pihak lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kesejahteraan Selangor dan kerajaan negeri amat komited untuk meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan yang kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengelak ketidakseimbangan di antara kaum.
Namun, tidak sampai 24 jam selepas pendirian Dr. Mahathir itu, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah apabila bertegas mahu membuat kajian komprehensif berkaitan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan. – UTUSAN ONLINE











